Meneliti satu persatu bait lagu Bagaikan Mutiara jelas merangkumkan kembara perjalanan hidup, aturan kerjaya dan kecintaan wanita kelahiran Palembang, Indonesia bernama Tya Arifin.
Single Pertama Tya Arifin “Bagaikan Mutiara” Di Malaysia |
Lagu nuansa pop ciptaan Ahmad Jeffny dan penyanyi Yuka Kharisma ini menjadi bukti biarpun melakukan banyak pengorbanan dalam hidup, minatnya terhadap dunia seni yang terlebih dahulu diceburi tidak pernah terhakis.Lebih istimewa lagu
yang dirakamkan 20 Oktober lalu ini turut mendapat sentuhan nukilan lirik suami
tercinta, Asyraf Khalid bersama Ahmad Jeffny.
Lagu edaran Universal Music Malaysia ini pendek kata boleh diabadikan sebagai meraikan momen indah usia perkahwinan pemilik nama penuh Nurtria Wulandari Arifin ini yang genap lima tahun pada 1 November lalu.
“Dalam hidup ini,
kita seringkali berdepan dengan pilihan dan pengorbanan. Saya sendiri tidak
pernah menyesali takdir berkahwin dengan Asyraf dan berhijrah ke Malaysia saat
nama sedang mekar di tanah kelahiran.
“Bukan keputusan
mudah sebenarnya untuk saya meninggalkan keluarga dan kerjaya di Indonesia.
Namun saya bulatkan hati dan percaya cinta yang teguh itu menjadi azimat
berharga membawa bahagia berterusan.
“Lirik awal lagu ini
sendiri bermula dengan kembara saya dari tanah seberang menuju ke Malaysia.
Pendek kata lagu ini mengenai perjalanan saya bertemu dengan suami dan
seterusnya membuka lembaran baru dalam hidup sekali gus menebarkan impian yang
lebih besar,” katanya Tya yang pernah muncul dengan single Bawalah Aku di
Indonesia sekitar tahun 2012.
Menurut Tya yang
turut meneroka dunia perniagaan produk suplemen kesihatan, Mutyara, single
komersial pertamanya di Malaysia itu bagai sebuah bingkisan bermakna yang
menghimpunkan pahit manis dalam paksi hidup.
“Ia seperti sebuah
kembara seorang wanita yang mencari hala tuju dalam hidupnya. Ia termasuk
mencari jati diri. Dalam perjalanan itu, dipertemukan dengan cinta hati.
“Lumrah dalam sebuah
bahtera kehidupan itu pasti bersilih ganti suka duka sebelum mencapai kejayaan,
matlamat dan impian diidamkan.
“Simbolik perkataan
mutiara itu sendiri yang sentiasa bersinar di lautan. Ia tetap berharga
nilainya sekali gus mencerminkan segala yang positif seperti kebijaksanaan, keteguhan
hati, kemurnian, kekebalan dan kesetiaan,” katanya.
Jelas Tya lagi,
single berkenaan juga ironinya memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai
sudut pandang.
“Wanita itu tak kira
apa juga statusnya, dia juga kena kuat. Tidak boleh sesekali lemah. Kuat itu
juga bukan daripada segi fizikal, namun juga minda dan pembawakan diri.
“Saya sendiri berubah
status dari gadis bertukar sebagai isteri dan ibu. Menjadi ibu kepada dua
cahaya mata tidak pernah membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam
hidup.
“Saya jadi lebih
optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu
mengubah nasib orang lain,” katanya yang mula berhijab sekitar awal tahun ini.
Ditanya apakah
percubaannya menghasilkan single berkenaan yaitu untuk merekam memori
perjalanan cintanya, Tya memintas bahawa lagu itu menzahirkan darah seni yang
mengalir tidak pernah bernoktah
“Soalnya saya bermula
sebagai artis. Pastinya saya mengharapkan pertaruhan ini akan membuahkan hasil.
“Saya juga tidak mengambil mudah dalam soal untuk kembali menyanyi. Pastinya selepas sekian lama tidak menyanyi, banyak hal saya kena asah. Termasuk daripada sudut vokal. Saya sempat berguru menajamkan kembali vokal sebelum proses rakaman bermula,” katanya.
Lagu berkenaan juga menyaksikan Asyraf bertindak sebagai penerbit eksekutif. Video muzik juga sudah dirakamkan 17 November lalu arahan El Helmi Khir.
Lagu dan video muzik
Bagaikan Mutiara akan dilancarkan pada (4 Disember 2020; jam 12.00am, tengah
malam ni). Ia juga boleh distrim di platform digital terpilih.
Klik link ke tautan video muzik ini https://youtu.be/WjmXdoESo4I yang akan dipaparkan melalui Youtube Channel Tya Arifin Official
No comments:
Post a Comment
Please Leave a Comment to show some Love ~ Thanks